Bismillahirrahmanirrahim….
Assalamualaikum…
Alhamdulillah, syukur kepada Allah diatas nikmat yang tidak
terhingga banyaknya walaupun kita seringkali lupa untuk berterima kasih
padaNya. Sebagai manusia pasti kita sudah mengetahui dan pernah belajar dari kecil
hinggalah sekarang bahawa segala qadar yang berlaku adalah atas ketentuan Allah
sejak azali lagi.
Namun, timbul persoalan tentang ungkapan bahawa qadar mungkin boleh
berubah. Ada yang menyebutkan bahawa qadar tidak boleh ditolak melainkan dengan
doa. Jika qadar menetapkan kita akan terlibat dengan kemalangan, tidakkah kita
berusaha untuk mengelakkan daripada kemalangan itu berlaku? Jika qadar
menetapkan kita sakit, bukankah kita boleh berusaha untuk menjadi tidak sakit?
Qadar Allah
Sebagai penjelasan isu ini, keterangannya seperti berikut:
1. Tiada ilmu bagi kita tentang qadar Allah
Pada hakikatnya tiada sesiapa pun yang boleh mengetahui tentang qadar
Allah kepadanya. Tiada manusia yang tahu bila dia akan sakit, apa penyakitnya,
tentang kemalangan, kecurian dan sebagainya. Seorang pelajar tidak tahu
ketentuan Allah sama ada dia akan berjaya atau gagal dalam peperiksaannya. Seorang
pelajar juga tidak tahu berapa nilai kecemerlangannya atau gred A yang akan
diperoleh. Oleh sebab itu kita tidak perlu menunggu qadar datang, sebaliknya
berusaha mendapatkan qadar ketentuan yang terbaik daripada Allah S.W.T.
2. Allah menghapuskan suatu ketetapan dan menetapkannya
Firman Allah S.W.T yang bermaksud : “ Allah menghapuskan apa-apa
yang dikehendaki-Nya dan Dia juga menetapkan apa-apa yang dikehendaki-Nya.” (Surah
al-Ra’d 13: 39)
Menurut Ibn ‘Abbas r.a. dalam Tafsir Ibn Kathir, ayat ini
menjelaskan bahawa Allah menetapkan urusan selama setahun, lalu Dia memadamkan
apa-apa yang dikehendaki-Nya. Ini bermakna Allah menetapkan apa-apa yang
dirancang dan juga mengubah perkara yang sudah dirancang.
3. Qadar mubram dan qadar mu’allaq
Qadar mubram ialah qadar Allah yang terdapat di Lohmahfuz. Qadar
ini tidak akan berubah dan tidak diketahui oleh sesiapa pun. Ia adalah rahsia
ilmu Allah hinggakan para malaikat tidak tahu tentang perkara ini. Oleh sebab
itu, kita tidak perlu membicarakan dan mempersoalkan qadar ini.
Seterusnya, qadar mu’allaq iaitu qadar yang tergantung. Qadar
ini tergantung pada faktor dan sebab. Ia disebut sebagai qadar yang ada dalam
kitab-kitab di sisi para malaikat. Maka, rezeki, ajal, kematian dan usia tetap
di sisi Allah S.W.T. Namun, catatan yang ada disisi para malaikat adalah tetap
dan berubah dengan perintah Allah.
Contohnya, di sisi Allah usia insan adalah tetap. Walau bagaimanapun,
kadar usia seseorang insan di sisi para malaikat adalah tidak tetap. Ia bergantung
dengan sebab tertentu.
Ini jelas kepada kita sebuah sabda Nabi S.A.W yang bermaksud : “
Sesiapa yang suka jika diluaskan rezeki dan dipanjangkan usianya, hendaklah dia
menghubungkan tali silaturahim.” (Riwayat al-Bukhari, Muslim, Abu Daud dan
Ahmad )
Dengan ini kita boleh mengandaikan Allah menetapkan usia seseorang
sekitar 50 tahun sahaja. Namun jika dia menghubungkan tali silaturahim sesama
manusia, maka usianya akan bertambah sehingga mencapai 70 tahun. Malaikat hanya
mengetahui usia seseorang antara 50 dengan 70 tahun. Malaikat tidak mengetahui
sama ada usia seseorang itu bertambah atau tidak kerana malaikat tidak tahu
sama ada seseorang itu menghubungkan tali silaturahim atau tidak. Namun, hanya
mengetahui hakikat sebenar. Oleh sebab itu menghubungkan tali silaturahim
menjadi sebab pertambahan usia. Sama-sama lah kita, insyaAllah.
Tentukan Hala Tuju Diri
Apabila kita memahami qadar dengan aspek sebegini, kita sebenarnya
mempunyai kebebasan untuk menetukan hala tuju diri kita. Qadak dan qadar bukan
asas untuk kita menjadi seorang yang pemalas. Jika Allah menentukan kita
miskin, maka kita tetap akan miskin walaupun kita rajin berusaha.
Persoalannya, bagaimana kita tahu bahawa Allah menetapkan kita
miskin ? Mungkin Allah menetapkan kita sebenarnya kaya, Cuma kekayaan itu
diikat dengan satu syarat iaitu kita mesti rajin berusaha. Alangkah ruginya
jika berhujah dengan alasan qadar Allah dan malas untuk berusaha.
Justeru, jika Allah menetapkan seseorang itu sebagai ahli syurga
dan dijauhkan daripada azab api neraka, maka ia nikmat yang amat besar. Namun jika
Allah menetapkan seseorang itu dimasukkan ke neraka dan diazab, maka adakah dia
perlu redha sahaja?
Kaedahnya telah dibentangka dengan jelas dalam al-Quran iaitu
keimanan kepada Allah dan melakukan amalan soleh. Firman Allah yang bermaksud :
“ Sesiapa yang beramal dengan amalan soleh sama ada lelaki mahupun wanita,
sedangkan dia beriman, maka mereka akan masuk ke syurga dan meleka tidak
dizalimi walaupun sedikit.” ( Surah al-Nisa’ 4: 124 )
Kita tidak boleh memberi alasan berikut : “ Jika Allah mentakdirkan
saya sebagai ahli syurga, maka saya tetap akan masuk syurga walaupun saya jahat
dan melakukan kejahatan. Begitu juga jika Allah mentakdirkan saya masuk ke
neraka, maka saya tetap akan masuk kedalamnya walaupun saya beriman dan beramal
soleh.”
Cuba belajar untuk tanya kepada diri sendiri bagaimana kita sebagai
manusia biasa mengetahui bahawa Allah mentakdirkan kita sebagai ahli Syurga
atau Neraka? Justeru, kaedah dan konsep yang sama hendaklah
diaplikasikan dalam kehidupan ini. Moga-moga dengan sedikit ilmu tentang qadar
Allah ini boleh melatih kita berfikir dan berusaha untuk mendapat ketentuan
yang baik daripada Allah S.W.T. InsyaAllah...wallahualam
Rujukan : Ustaz Mohammad Nidzam Abd.Kadir