Followers

Sunday, July 15, 2012

Qadar Allah Yang Boleh Diubah


Bismillahirrahmanirrahim….

Assalamualaikum…

Alhamdulillah, syukur kepada Allah diatas nikmat yang tidak terhingga banyaknya walaupun kita seringkali lupa untuk berterima kasih padaNya. Sebagai manusia pasti kita sudah mengetahui dan pernah belajar dari kecil hinggalah sekarang bahawa segala qadar yang berlaku adalah atas ketentuan Allah sejak azali lagi.

Namun, timbul persoalan tentang ungkapan bahawa qadar mungkin boleh berubah. Ada yang menyebutkan bahawa qadar tidak boleh ditolak melainkan dengan doa. Jika qadar menetapkan kita akan terlibat dengan kemalangan, tidakkah kita berusaha untuk mengelakkan daripada kemalangan itu berlaku? Jika qadar menetapkan kita sakit, bukankah kita boleh berusaha untuk menjadi tidak sakit?



Qadar Allah

Sebagai penjelasan isu ini, keterangannya seperti berikut:

1. Tiada ilmu bagi kita tentang qadar Allah

Pada hakikatnya tiada sesiapa pun yang boleh mengetahui tentang qadar Allah kepadanya. Tiada manusia yang tahu bila dia akan sakit, apa penyakitnya, tentang kemalangan, kecurian dan sebagainya. Seorang pelajar tidak tahu ketentuan Allah sama ada dia akan berjaya atau gagal dalam peperiksaannya. Seorang pelajar juga tidak tahu berapa nilai kecemerlangannya atau gred A yang akan diperoleh. Oleh sebab itu kita tidak perlu menunggu qadar datang, sebaliknya berusaha mendapatkan qadar ketentuan yang terbaik daripada Allah S.W.T.

2. Allah menghapuskan suatu ketetapan dan menetapkannya

Firman Allah S.W.T yang bermaksud : “ Allah menghapuskan apa-apa yang dikehendaki-Nya dan Dia juga menetapkan apa-apa yang dikehendaki-Nya.” (Surah al-Ra’d 13: 39)

Menurut Ibn ‘Abbas r.a. dalam Tafsir Ibn Kathir, ayat ini menjelaskan bahawa Allah menetapkan urusan selama setahun, lalu Dia memadamkan apa-apa yang dikehendaki-Nya. Ini bermakna Allah menetapkan apa-apa yang dirancang dan juga mengubah perkara yang sudah dirancang.

3. Qadar mubram dan qadar mu’allaq

Qadar mubram ialah qadar Allah yang terdapat di Lohmahfuz. Qadar ini tidak akan berubah dan tidak diketahui oleh sesiapa pun. Ia adalah rahsia ilmu Allah hinggakan para malaikat tidak tahu tentang perkara ini. Oleh sebab itu, kita tidak perlu membicarakan dan mempersoalkan qadar ini.

Seterusnya, qadar mu’allaq iaitu qadar yang tergantung. Qadar ini tergantung pada faktor dan sebab. Ia disebut sebagai qadar yang ada dalam kitab-kitab di sisi para malaikat. Maka, rezeki, ajal, kematian dan usia tetap di sisi Allah S.W.T. Namun, catatan yang ada disisi para malaikat adalah tetap dan berubah dengan perintah Allah.

Contohnya, di sisi Allah usia insan adalah tetap. Walau bagaimanapun, kadar usia seseorang insan di sisi para malaikat adalah tidak tetap. Ia bergantung dengan sebab tertentu.

Ini jelas kepada kita sebuah sabda Nabi S.A.W yang bermaksud : “ Sesiapa yang suka jika diluaskan rezeki dan dipanjangkan usianya, hendaklah dia menghubungkan tali silaturahim.” (Riwayat al-Bukhari, Muslim, Abu Daud dan Ahmad )

Dengan ini kita boleh mengandaikan Allah menetapkan usia seseorang sekitar 50 tahun sahaja. Namun jika dia menghubungkan tali silaturahim sesama manusia, maka usianya akan bertambah sehingga mencapai 70 tahun. Malaikat hanya mengetahui usia seseorang antara 50 dengan 70 tahun. Malaikat tidak mengetahui sama ada usia seseorang itu bertambah atau tidak kerana malaikat tidak tahu sama ada seseorang itu menghubungkan tali silaturahim atau tidak. Namun, hanya mengetahui hakikat sebenar. Oleh sebab itu menghubungkan tali silaturahim menjadi sebab pertambahan usia. Sama-sama lah kita, insyaAllah.




Tentukan Hala Tuju Diri

Apabila kita memahami qadar dengan aspek sebegini, kita sebenarnya mempunyai kebebasan untuk menetukan hala tuju diri kita. Qadak dan qadar bukan asas untuk kita menjadi seorang yang pemalas. Jika Allah menentukan kita miskin, maka kita tetap akan miskin walaupun kita rajin berusaha.

Persoalannya, bagaimana kita tahu bahawa Allah menetapkan kita miskin ? Mungkin Allah menetapkan kita sebenarnya kaya, Cuma kekayaan itu diikat dengan satu syarat iaitu kita mesti rajin berusaha. Alangkah ruginya jika berhujah dengan alasan qadar Allah dan malas untuk berusaha.

Justeru, jika Allah menetapkan seseorang itu sebagai ahli syurga dan dijauhkan daripada azab api neraka, maka ia nikmat yang amat besar. Namun jika Allah menetapkan seseorang itu dimasukkan ke neraka dan diazab, maka adakah dia perlu redha sahaja?

Kaedahnya telah dibentangka dengan jelas dalam al-Quran iaitu keimanan kepada Allah dan melakukan amalan soleh. Firman Allah yang bermaksud : “ Sesiapa yang beramal dengan amalan soleh sama ada lelaki mahupun wanita, sedangkan dia beriman, maka mereka akan masuk ke syurga dan meleka tidak dizalimi walaupun sedikit.” ( Surah al-Nisa’ 4: 124 )

Kita tidak boleh memberi alasan berikut : “ Jika Allah mentakdirkan saya sebagai ahli syurga, maka saya tetap akan masuk syurga walaupun saya jahat dan melakukan kejahatan. Begitu juga jika Allah mentakdirkan saya masuk ke neraka, maka saya tetap akan masuk kedalamnya walaupun saya beriman dan beramal soleh.”

Cuba belajar untuk tanya kepada diri sendiri bagaimana kita sebagai manusia biasa mengetahui bahawa Allah mentakdirkan kita sebagai ahli Syurga atau Neraka? Justeru, kaedah dan konsep yang sama hendaklah diaplikasikan dalam kehidupan ini. Moga-moga dengan sedikit ilmu tentang qadar Allah ini boleh melatih kita berfikir dan berusaha untuk mendapat ketentuan yang baik daripada Allah S.W.T. InsyaAllah...wallahualam


Rujukan : Ustaz Mohammad Nidzam Abd.Kadir






No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...