Followers

Sunday, July 15, 2012

Qadar Allah Yang Boleh Diubah


Bismillahirrahmanirrahim….

Assalamualaikum…

Alhamdulillah, syukur kepada Allah diatas nikmat yang tidak terhingga banyaknya walaupun kita seringkali lupa untuk berterima kasih padaNya. Sebagai manusia pasti kita sudah mengetahui dan pernah belajar dari kecil hinggalah sekarang bahawa segala qadar yang berlaku adalah atas ketentuan Allah sejak azali lagi.

Namun, timbul persoalan tentang ungkapan bahawa qadar mungkin boleh berubah. Ada yang menyebutkan bahawa qadar tidak boleh ditolak melainkan dengan doa. Jika qadar menetapkan kita akan terlibat dengan kemalangan, tidakkah kita berusaha untuk mengelakkan daripada kemalangan itu berlaku? Jika qadar menetapkan kita sakit, bukankah kita boleh berusaha untuk menjadi tidak sakit?



Qadar Allah

Sebagai penjelasan isu ini, keterangannya seperti berikut:

1. Tiada ilmu bagi kita tentang qadar Allah

Pada hakikatnya tiada sesiapa pun yang boleh mengetahui tentang qadar Allah kepadanya. Tiada manusia yang tahu bila dia akan sakit, apa penyakitnya, tentang kemalangan, kecurian dan sebagainya. Seorang pelajar tidak tahu ketentuan Allah sama ada dia akan berjaya atau gagal dalam peperiksaannya. Seorang pelajar juga tidak tahu berapa nilai kecemerlangannya atau gred A yang akan diperoleh. Oleh sebab itu kita tidak perlu menunggu qadar datang, sebaliknya berusaha mendapatkan qadar ketentuan yang terbaik daripada Allah S.W.T.

2. Allah menghapuskan suatu ketetapan dan menetapkannya

Firman Allah S.W.T yang bermaksud : “ Allah menghapuskan apa-apa yang dikehendaki-Nya dan Dia juga menetapkan apa-apa yang dikehendaki-Nya.” (Surah al-Ra’d 13: 39)

Menurut Ibn ‘Abbas r.a. dalam Tafsir Ibn Kathir, ayat ini menjelaskan bahawa Allah menetapkan urusan selama setahun, lalu Dia memadamkan apa-apa yang dikehendaki-Nya. Ini bermakna Allah menetapkan apa-apa yang dirancang dan juga mengubah perkara yang sudah dirancang.

3. Qadar mubram dan qadar mu’allaq

Qadar mubram ialah qadar Allah yang terdapat di Lohmahfuz. Qadar ini tidak akan berubah dan tidak diketahui oleh sesiapa pun. Ia adalah rahsia ilmu Allah hinggakan para malaikat tidak tahu tentang perkara ini. Oleh sebab itu, kita tidak perlu membicarakan dan mempersoalkan qadar ini.

Seterusnya, qadar mu’allaq iaitu qadar yang tergantung. Qadar ini tergantung pada faktor dan sebab. Ia disebut sebagai qadar yang ada dalam kitab-kitab di sisi para malaikat. Maka, rezeki, ajal, kematian dan usia tetap di sisi Allah S.W.T. Namun, catatan yang ada disisi para malaikat adalah tetap dan berubah dengan perintah Allah.

Contohnya, di sisi Allah usia insan adalah tetap. Walau bagaimanapun, kadar usia seseorang insan di sisi para malaikat adalah tidak tetap. Ia bergantung dengan sebab tertentu.

Ini jelas kepada kita sebuah sabda Nabi S.A.W yang bermaksud : “ Sesiapa yang suka jika diluaskan rezeki dan dipanjangkan usianya, hendaklah dia menghubungkan tali silaturahim.” (Riwayat al-Bukhari, Muslim, Abu Daud dan Ahmad )

Dengan ini kita boleh mengandaikan Allah menetapkan usia seseorang sekitar 50 tahun sahaja. Namun jika dia menghubungkan tali silaturahim sesama manusia, maka usianya akan bertambah sehingga mencapai 70 tahun. Malaikat hanya mengetahui usia seseorang antara 50 dengan 70 tahun. Malaikat tidak mengetahui sama ada usia seseorang itu bertambah atau tidak kerana malaikat tidak tahu sama ada seseorang itu menghubungkan tali silaturahim atau tidak. Namun, hanya mengetahui hakikat sebenar. Oleh sebab itu menghubungkan tali silaturahim menjadi sebab pertambahan usia. Sama-sama lah kita, insyaAllah.




Tentukan Hala Tuju Diri

Apabila kita memahami qadar dengan aspek sebegini, kita sebenarnya mempunyai kebebasan untuk menetukan hala tuju diri kita. Qadak dan qadar bukan asas untuk kita menjadi seorang yang pemalas. Jika Allah menentukan kita miskin, maka kita tetap akan miskin walaupun kita rajin berusaha.

Persoalannya, bagaimana kita tahu bahawa Allah menetapkan kita miskin ? Mungkin Allah menetapkan kita sebenarnya kaya, Cuma kekayaan itu diikat dengan satu syarat iaitu kita mesti rajin berusaha. Alangkah ruginya jika berhujah dengan alasan qadar Allah dan malas untuk berusaha.

Justeru, jika Allah menetapkan seseorang itu sebagai ahli syurga dan dijauhkan daripada azab api neraka, maka ia nikmat yang amat besar. Namun jika Allah menetapkan seseorang itu dimasukkan ke neraka dan diazab, maka adakah dia perlu redha sahaja?

Kaedahnya telah dibentangka dengan jelas dalam al-Quran iaitu keimanan kepada Allah dan melakukan amalan soleh. Firman Allah yang bermaksud : “ Sesiapa yang beramal dengan amalan soleh sama ada lelaki mahupun wanita, sedangkan dia beriman, maka mereka akan masuk ke syurga dan meleka tidak dizalimi walaupun sedikit.” ( Surah al-Nisa’ 4: 124 )

Kita tidak boleh memberi alasan berikut : “ Jika Allah mentakdirkan saya sebagai ahli syurga, maka saya tetap akan masuk syurga walaupun saya jahat dan melakukan kejahatan. Begitu juga jika Allah mentakdirkan saya masuk ke neraka, maka saya tetap akan masuk kedalamnya walaupun saya beriman dan beramal soleh.”

Cuba belajar untuk tanya kepada diri sendiri bagaimana kita sebagai manusia biasa mengetahui bahawa Allah mentakdirkan kita sebagai ahli Syurga atau Neraka? Justeru, kaedah dan konsep yang sama hendaklah diaplikasikan dalam kehidupan ini. Moga-moga dengan sedikit ilmu tentang qadar Allah ini boleh melatih kita berfikir dan berusaha untuk mendapat ketentuan yang baik daripada Allah S.W.T. InsyaAllah...wallahualam


Rujukan : Ustaz Mohammad Nidzam Abd.Kadir






Monday, July 9, 2012

Muhasabah Diri, Cara Qada Solat Yang Tertinggal


Bismillahirrahmanirrahim….
Assalamualaikum….


Sebagai seorang Muslim kita semua tahu bahawa solat itu merupakan kewajipan yang Allah suruh seperti mana yang terdapat di dalam rukun Islam yang ke2. Selama kita hidup pernah tak kita tinggal solat? Kita manusia akhir zaman yang lemah imannya, sering kali lalai dalam kewajiban yang Allah suruh. Mungkin kita adalah dalam golongan orang yang pernah tinggal solat baik sengaja ataupun tidak sengaja. Sekarang rasa menyesal itu mungkin mula dirasai oleh kita semua disebabkan dahulunya jahil tentang agama dan sering tinggal solat walaupun sudah baligh dulu.


Alhamdulillah hari ini Allah masih lagi hidupkan kita, mungkin Dia tahu banyaknya dosa kita dan mahu memberi ruang kepada kita untuk bertaubat. Selagi ajal belum tiba eloklah kita semua qada solat kita yang kita tinggal dulu. Puasa yang ditinggalkan kena ganti, hutang dengan manusia pun kita kena bayar inikan hutang kita dengan Allah. Ok, apa yang mesti kita tahu tentang cara atau bagai mana mahu qada’ solat?
Ada pendapat yang mengatakan hanya perlu qada solat yang ditinggalkan kerana tidak sengaja terlupa atau tertidur dan tidak perlu qada solat yang sengaja ditinggalkan. Misalnya sembahyang yang ditinggalkan dengan sengaja kerana lalai semasa “muda-muda dulu”. Mereka mengatakan cukup dengan istighfar dan bertaubat sahaja. Sebenarnya pendapat ini tidak tepat kerana Rasulullah s.a.w. sendiri menqada solat yang ditinggalkan walaupun Baginda tidak tertidur atau terlupa.
Tidak ada qada dalam solat bukan bermaksud tidak perlu qada tapi tidak perlu sebut perkataan qadha semasa niat. Qadha ialah melakukan sesuatu ibadah di luar waktunya dan tunai ialah melakukan sesuatu ibadah di dalam waktunya. Secara mudahnya tunai “waktu Allah”, qadha “waktu kita”
Dari ‘Aisyah r.a katanya: ”Apabila Rasulullah s.a.w. lupa solat malam, umpamanya kerana tertidur dan sebagainya, maka baginda menggantinya pada siang hari dua belas rakaat.” (Muslim)
Cara niat Qada bagi solat fardu lima waktu pula ialah:
1.   Solat Maghrib:
“Sahaja aku solat fardu maghrib tiga rakaat qada’ kerana Allah Ta’ala”

2.   Solat Isyak:
“Sahaja aku solat fardu Isyak empat rakaat qada’ kerana Allah Ta’ala”

3.   Solat Subuh:
“Sahaja aku Solat Fardu Subuh dua rakaat qada’ kerana Allah Ta'ala”

4.   Solat Zuhur:

“Sahaja aku solat fardu Zuhur empat rakaat qada’ kerana Allah Ta'ala”

5.   Solat Asar:

“Sahaja aku solat fardu Asar empat rakaat qadha’ kerana Allah Ta'ala
Ada orang bertanya : Jika kita tertinggal solat (sengaja dan tidak sengaja) sejak akhil baligh sehingga sekarang (20-an; banyak waktu), perlukah di qada semua jumlah solat yang tertinggal itu atau cukup dengan melakukan solat taubat?
Jawabnya, Wajib qada solat yang telah tertinggal. Disini ada dua cara untuk qada,  pertama jika seseorang yang tahu sebanyak mana dia telah tinggalkan solat fardhunya, maka qadakanlah mengikut bilangan yang telah ditinggalkannya.

Cara kedua adalah bagi yang tidak tahu secara detail berapa banyak yang telah ditinggalkannya, yakni semenjak akil baligh, buatlah anggaran berapa banyak solat yang perlu diqada dan berhentilah jika sudah yakin solat itu sudah diqada kesemuanya. Cara yang terbaik adalah selepas selesai solat fardhu lakukan solat qada, buatlah berterusan begitu moga-moga diterima Allah.

Selain itu ada juga orang bertanya,  jika ditakdirkan meninggal sebelum sempat mengqada semua solat itu (tetapi sudah buat solat taubat) bagaimana?

Soal jika meninggal sebelum sempat mengqada kesemua solat itu, semuanya bergantung pada Allah, akan tetapi jika kita telah benar2 insaf dan niat untuk qada kesemua solat dan telah melakukan solat taubat dengan bersungguh-sungguh dan juga mengikuti segala perintah Allah, insyaAllah akan diampuni dosa-dosanya. Untuk pengetahuan semua, qada solat fardhu boleh dilakukan pada bila-bila masa sahaja tiada waktu larangan padanya. Semoga perkongsian ini bermanfaat kepada semua dalam mendapat pengampunan daripada Allah SWT.
Wallahualam…….




Rujukan : http://nasbunnuraini.wordpress.com








Tuesday, July 3, 2012

Di Ambang Ketibaannya….


Bismillahirrahmanirrahim....

Assalamualaikum...

YA ALLAH BEGITU PANTAS WAKTU BERLALU. KINI RAMADHAN SUDAH KIAN DI AMBANG KETIBAANNYA. SEMOGA KAMI MENJADI SALAH SEORANG DALAM TAKDIR-MU YANG AKAN TERUS BERADA DI DALAM BULAN-MU YANG SUCI PENUH BARAKAH ITU…..




Alhamdulillah terima kasih ya Allah..Maha suci Engkau masih lagi memberi kesempatan kepada diri ini. Aku mohon kepada Mu agar aku dapat bertemu dengan bulan yang penuh Mulia yang semakin diambang ketibaanya..insyaAllah..

Setiap tahun Ramadhan yang suci ini adalah ujian kelazatan ibadah bagi seorang hamba. Kadang-kala bulan Ramadhan ini bagaikan mahu menduduki musim peperiksaan. Begitulah Ramadhan.

- Jom cepat-cepat kita siapkan kerja kita sebab nanti nak puasa pulak!
- Jom cepat-cepat jom buat program, nanti puasa susah dah penat!
- Jom cepat-cepat aku nak belanja hang makan, kita pi pekena ikan bakar. Ramadhan nanti  tak boleh makan tengahari bersama dah!

Itulah antara ungkapan yang sering kita dengar. Namun amat jarang kita dengar bicara seumpama ini:

- Jom cepat-cepat buat persediaan, Ramadan dah dekat.
- Jom cepat-cepat tambahkan ilmu tentang ibadah yang terbaik sepanjang Ramadhan.
- Jom kita terus berdoa agar dapat bertemu Ramadan kali ini!

Ramadan akan tiba tidak lama lagi. Jika kita merindukan kehadiran yang indah, inilah masa bahagia, masa betapa dekatnya jiwa kita bersama Allah SWT, inilah waktu kedamaian.

Semoga amalan Ramadhan kita pada tahun ini sentiasa lebih mantap daripada yang lalu. Jika amalan baik yang kita pupuk sepanjang Ramadhan ini boleh dipegang, diamal dan dipraktikkan di luar musim Ramadhan, alhamdulillah kita sudah berjaya memberkukuhkan diri kita dengan hal-hal kebaikan. Andai belum begitu mantap, berusahalah agar Ramadhan kali ini yang akan kita jalani adalah yang terbaik dan terhebat serta tidak disia-diakan begitu sahaja.

Berpisah dengan bulan ini bermakna kita meninggalkan kesempatan meraih pahala kebaikan yang berlipat ganda. Maka, perpisahan dengan bulan ini pula, bererti kita kehilangan dua keajaiban kegembiraan di kala berbuka puasa.
Perpisahan dengan bulan ini juga adalah hilangnya kesempatan kita untuk memperoleh keampunan Allah terhadap dosa yang tidak sanggup kita kira lagi. Selesai saja Ramadhan bermakna lenyapnya kesempatan kita untuk menunaikan solat malam dengan jaminan pahala ampunan atas dosa dan kesilapan yang kita sudah tenggelam di dalamnya.

Oleh itu, contohilah Nabi kita Rasulullah SAW yang sentiasa mencari malam Lailatul Qadar dan memerintahkan sahabat mencarinya. Beliau membangunkan keluarganya pada malam sepuluh terakhir dengan harapan mendapat malam Lailatul Qadar.

Usahlah menunggu hari-hari terakhir menjelang perpisahan dengan bulan penuh kemuliaan ini. Gigihkan usaha kita mengejar Lailatul Qadar. Namun, apa yang lebih penting adalah semangat diambil dengan makna Lailatul Qadar.

Berdoalah bersungguh-sungguh agar kita dapat bertemu dengan Ramadan tahun ini. Sambutlah Ramadhan yang bakal tiba dengan penuh kegembiraan. Berebut-rebutlah melakukan amat kebajikan.

Bila tiba pula waktu perpisahan dengan bulan yang mulia ini, menangislah kerana kita akan berpisah dengan kemuliaan dan keberkatan hebat bulan ini.

Ayuh! Marilah kita sambut hadirnya dengan berlapang dada dan senyum yang mekar di seluruh jiwa. Anggaplah seolah-olah ini Ramadhan terakhir yang akan dilalui dan sudah pasti kita mahukan persembahan yang terbaik buat Rabbul Izzati. Insya ALLAH (“,)


Monday, May 7, 2012

Hanya Persinggahan


Bismillahirrahmanirrahim...

Assalamualaikum dan salam ukhwah buat sahabat semua...

Alhamdulillah, dengan izinNya berkesempatan untuk berkongsi sedikit ilmu sebagai bekalan untuk menempuh kehidupan yang penuh ujian dan tekanan ini.



Dunia ini hanyalah satu persinggahan. Kehidupan kita di dunia ini umpama seorang musafir yang berhenti berehat di bawah sepohon pokok kemudiannya meneruskan perjalanan semula. Dunia yang kita tak ketahui berapa lama lagi boleh kita tinggal. Mungkinkah lagi beberapa tahun?. Beberapa hari?. Beberapa jam atau beberapa minit atau beberapa saat lagi?. Hala tuju kita semestinya syurga Allah kerana kehidupan di sana adalah kehidupan yang kekal... Namun apa yang telah kita lakukan untuk meraih syurga Allah?...

Terlalu banyak dosa yang telah kita lakukan. Walaupun peringatan demi peringatan di beri, kita masih melakukan perkara-perkara yang tidak disukai Allah. Begitu sukar untuk kita meninggalkan perkara-perkara jahiliyah. Terlalu banyak masa terbuang untuk perkara yang tidak berfaedah sedangkan masa yang ada ini terlalu singkat untuk mengejar kesemuanya.

Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud:
"Dunia adalah tanaman untuk hari Akhirat…"


Namun kerana tipu daya syaithan yang menghiasi kehidupan dunia dengan menjadikannya kekal dan indah pada pandangan manusia menyebabkan ramai yang terperangkap hingga menjadikan dunia sebagai matlamat. Ramai yang mengabaikan Akhirat hinggalah tiba saat mereka dipanggil pulang mengadap Allah SWT barulah mereka tersedar dan insaf, sayangnya keinsafan pada masa itu telah kehilangan harganya.

Walau pun hidup di dunia singkat berbanding kehidupan akhirat, tetapi ianya sangat penting, kerana ia adalah penentu samaada kita bahagia atau celaka di hari Akhirat nanti

Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud :

"Ada empat perkara yang apabila diberikan kepada seseorang sesungguhnya dia telah memperolehi kebaikan dunia dan akhirat…" Iaitu :


1. Hati yang sentiasa bersyukur…
2. Lisan yang sentiasa berzikir…
3. Tubuh yang sentiasa sabar dalam menanggung musibah… dan
4. Isteri yang tidak pernah khianat sama ada terhadap dirinya atau terhadap harta benda (suami)nya


Untuk bahagia di hari Akhirat, kita mesti melakukan sebanyak-banyaknya kebaikan ketika hidup di dunia. Berusahalah menjadi hamba Allah yang soleh dan solehah kerana kelak kita pasti bahagia di sana.

Kita mesti ingat yang akhirnya kita akan kembali kepada Allah SWT jua. Segala amalan semasa hidup kita akan menentukan apa kesudahan kita. Jika dunia ini menjadi ladang amal soleh maka kita akan bahagia selama-lamanya tetapi jika sepanjang kehidupan kita dipenuhi dosa dan maksiat maka kita akan menyesal selama-lamanya.

Sujudlah kita kepada Allah, mohonlah kepada Allah supaya kita terus berada di landasan yang lurus, mohonlah kepada Allah supaya kehidupan kita yang singkat ini direhai Allah…insyaAllah..Aminn




Friday, March 16, 2012

Pertemuan & Perpisahan

Bismillahirrahmanirrahim...

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Selawat dan salam buat junjungan, Rasulullah SAW, keluarganya dan sahabatnya..

Assalamualaikum dan salam ukhwah buat sahabat semua...



Alhamdulillah pertamanya, ucapan syukur kepada pencipta kita Allah SWT kerana masih memberi kesempatan untuk diri ini terus hidup dalam pengabdian kepadaNya..

Penantian selama 3 tahun aku di bumi KUIS (Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor) berakhir pada 12 Mac 2012 yang lalu...mungkin perasaan seronok itu ada tetapi kesedihan telah mengatasinya disebabkan terpaksa berpisah dengan sahabat-sahabat yang selama ini sama-sama mengharungi suka dan duka sepanjang aku berada di KUIS...

Mungkin sangat terasa disebabkan aku tinggal jauh dengan kawan-kawan aku yang lain..kebanyakkan kawan-kawan aku terutamanya kawan kelas ramai yang tinggal jauh dengan aku..Ya Allah sedihnya hati ini.. sepanjang hidup aku, aku tidak pernah rasa sesebak ini tatkala ingin berpisah dengan sahabat aku...mungkin Allah telah merancang satu pertemuan yang lebih indah dengan mereka selepas ini..insyaAllah...

Kali ini sangat berbeza.. Yaa.. Mereka berbeza dengan sahabat-sahabat aku yang yang pernah aku kenal sebelum ini. Kehadiran mereka dalam hidup aku telah memberi satu sinar yang baru untuk menggerakkan aku ke arah kebaikan dan lebih matang. Aku amat bersyukur kerana Allah SWT telah memberi satu peluang yang amat berharga kepada aku. Berkenalan dengan mereka merupakan suatu detik yang paling indah dalam hidup aku..

Alhamdulillah segala puji bagi Allah di atas nikmat kurnianNya. Aku dapat merasai satu ukhuwah persahabatan yang yang sangat bermakna. Manisnya ukhuwah persahabatan itu jika dipaksikan Allah SWT semata-mata. Mungkin selepas aku membaca buku ' Langit Ilahi ' hasil nukilan saudara Hilal Asyraf, aku mula memahami apa itu persahabatan yang sebenarnya..

Acap kali aku teringat suatu kata-kata ini,

" Teman yang paling baik adalah apabila kamu melihat wajahnya, kamu teringat akan Allah, mendengar kata-katanya menambahkan ilmu agama, melihat gerak-gerinya teringat akan kematian."

Akhirnya aku ketemu jua dengan sahabat sebegini. Namun, setiap pertemuan pasti ada perpisahan. Aku doakan mereka semua berjaya hendaknya di dunia mahupun di akhirat..semoga apa yang kita lalui dan pelajari bersama akan kita manfaatkan dengan sebaiknya dalam kehidupan kita demi mendapat keredhaan dariNya..insyaAllah..

" Pasangan sahabat yang berjumpa dan berpisah kerana Allah semata-mata akan mendapat naungan Arasy di akhirat kelak."

Wallahualam.....




Sang mentari sentiasa setia melimpahkan cahayanya kepada Sang Rembulan. Andai aku bisa berjumpa dengan Sang Mentari itu lagi, akan aku ucapkan ' Terima Kaish. Cahayamu membuatkan diriku bisa menarik di malam hari. '

Saturday, February 4, 2012

Andai Dia Untukku

Bismillahirrahmanirrahim.....

Assalamualaikum…..salam sejahtera kepada semua sahabat-sahabat,rakan seperjuangan…semoga berada dalam kesihatan yang baik…bagi yang tidak sihat mungkin itu adalah tanda kasih sayang Allah dalam menghapuskan dosa-dosa kita semua…insyaAllah… 

cinta itu membuatkan kita lebih mengingati Allah.


..."Ya Allah,jika dia benar untukku kau dekatkanlah hatiku dengan hatinya.Dan jika dia bukan untukku damaikanlah hatiku dengan ketentuanMu"...

Mungkin ungkapan ini sesuai dengan situasi bagi mereka yang telah menemui seseorang atau mungkin bukan juga seseorang tetapi yang cukup istimewa untuk di jadikan sebagai peneman hidup di dunia mahupun akhirat..

Kalau kita lihat fenomena anak muda sekarang…ramai yang bercinta..tetepi sejauh mana mereka faham tentang istilah cinta itu sendiri..mungkin bagi mereka cinta itu dianggap sebagai satu kepuasan bagi diri mereka untuk melepaskan segalanya tanpa menghiraukan hukum hakam Allah SWT..

Mungkin juga sekarang ramai remaja selalu bertanya apakah salah kami bercinta? Ya tidak, bercinta memang tidak salah kerana ia adalah fitrah semulajadi yang Allah telah kurniakan kepada setiap manusia. Jiwa manusia memerlukan cinta seperti jasadnya perlukan makanan. Oleh kerana cinta adalah fitrah, maka tentulah tidak salah untuk merasainya. Tetapi mestilah disertakan dengan peraturan-peraturan yang telah ditetapkan  oleh Allah SWT..

Bagi orang yang pernah bercinta dengan mengikut nafsu mungkin Allah SWT kerap dipinggirkan dalam hubungan cinta mereka dengan menafikan peraturan Allah…dan ketika itulah fitrah telah menjadi fitnah….


Cinta itu membuatkan ibadah kita lebih banyak


“Jangan bercinta dengan seseorang perempuan/lelaki itu jika bukan berniat untuk mengahwininya”

Apa yang boleh aku faham di sini, cinta itu tidak salah jika berada pada landasannya…Hendaklah cinta kita itu berdasarkan kepada cinta Allah. Maksudnya, cinta yang kita berikan kepadanya semata- mata kerana mengharapkan keredhaan Allah. Allah memberi kita fitrah itu lalu kita niatkan dengan fitrah itu boleh menghampirkan diri kepadanNYA..



Sehubungan dengan itu, bagi mereka yang sedang bercinta aku harap cintailah seseorang itu dengan niat untuk mengahwininya…jangan risau walau usia kita masih muda..mungkin ada yang merungut kami belum ada rumah,kereta,kerja? Masih belajar.…tetapi  ingatlah rezeki Allah ada dimana sahaja…jika kita melaksanakan hakNya..insyaAllah aku yakin Allah akan permudahkan kita semua... selain itu,kita bebas mencintai sesiapa pun yang kita mahu, tetapi pastikan cinta itu dapat memudahkan kita mencintai Allah.. 


Akhir kata, cinta antara lelaki dan perempuan mestilah diniatkan untuk Allah…tetapi jika perempuan / lelaki itu bukanlah jodoh kita yang kita cintai selama ini..redha lah dengan ketentuanNya…mungkin Dia ingin memberikan orang yang lebih baik untuk kita….kita cuma merancang tetapi sebaik-baik perancang adalah DIA..... wallahualam…




Ya-Allah...
andai dia jodohku tunjukkn aku jalan agar dia menjadi milikku
andai dia milikku Kau sabarknlah hatiku
 andai dia jodohku Kau tetapknlah imanku

andai dia bkn jodohku kau hilangknlah segala kenangan bersama si dia agar ku setia pd yg satu...
andai perpisahan yg terbaik buatku
Kau peliharalah dia 
Kau pertemukn dia dgn org yg terbaik buat dirinya...











Saturday, January 21, 2012

Perjalanan Hidup




Assalamualaikum…
Salam sejahtera kepada semua…semoga berada dalam keadaan yang sihat dalam ketaatan kepadaNya… Disaat sunyi sebegini dek kerana ramai student yang pulang ke rumah ekoran cuti seminggu raya cina yang diberikan memberi semangat semula untuk aku bertinta di sini sisebabkan aku tidak balik!!!….tetapi dalam kesunyian ini mustahil kalau tidak timbul kebosanan…itu sudah pasti!!!!...orang dekat seronok boleh balik…mak ayah datang ambil manakala orang jauh pula berkeliaran mencari tiket…ada pula yang tiket habis…macam2….tu laaa sapa suruh duduk jauh…huu….(aku pun sama)

Sekarang sudah masuk semester terakhir bagi aku dan kawan-kawan aku…sudah hampir 3 tahun aku belajar di sini KUIS…belajar di negeri orang banyak mengajar aku tentang kehidupan…berbanding di negri sendiri...lain tempat lain cara..Selain itu, sepanjang aku dari semester satu hinggalah semester akhir ini aku dapat lihat ramai kawan-kawan aku yang terkandas di pertengahan jalan dek kerana masalah kewangan,akademik dan sebagainya…bagi aku mereka bukanlah terkandas dan terus gagal…tetapi aku yakin mereka sedang berjaya di luar sana..

Aku pula…aku bersyukur sangat kepada Allah SWT kerana memberi kekuatan pada aku untuk terus berada di sini…walaupun sepanjang perjalanan ini terasa ingin jatuh dan tidak mampu untuk bangun semula tetapi Allah maha kuasa…tanpa kekuatan yang Dia bagi mungkin aku juga akan terkandas di pertengahan jalan dan tidak lagi berada di sini……syukur….

Sekarang aku di sini sedang menghitung hari untuk menamatkan pengajian aku…walaupun kerja bertimbun-tibum disaat akhir semester…dengan thesis nya dan macam-macam lagi..ahhh...tention!!!…tapi aku cuba sedaya upaya…sikap malas tu biasalaa…siapa yang  tak ada perasaan malas tu tipu laa kan…normal laaa… nama pun student kan…. Tapi mcam mana pun kena bagi siap jugak…it’s very important for graduation…

Akhir sekali,aku doakan semoga kawan-kawan seperjuangan aku semoga kita sama-sama dapat tamatkan pengajian dengan baik dan dalam keredhaanNya..semoga apa yang dipelajari bukanlah hanya terukir sejarah dan kenangan yang ditinggalkan semata-mata disini…tetapi di bawa bersama kemana jua kita berada suatu hari nanti…insyaAllah…(“,)  

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...