Bismillahirrahmanirrahim...
Assalamualaikum...
Salam sejahtera kepada semua yang dikasihi...semoga permulaan bulan Muharram ini menjadi semangat kepada kita untuk terus berserah diri dan mengabdikan diri kepadaNya dalam ketaatan....insyaAllah...
Alhamdulillah...aku cuma nak kongsikan 1 kisah yang mana boleh menjadi teladan kepada kita...walaupun ianya kisah pendek tetapi boleh mengajar kita supaya lebih bersyukur kepadaNya...kerana kadangkala bersyukur lebih tinggi makamnya daripada bersabar....
Pada suatu hari, seorang ahli sufi yang masyhur bernama Syaqiq Al-Balkhir telah membeli sebiji tembikai. Kemudian dia membawa tembikai itu pulang dan diberikan kepada isterinya. Apabila isterinya membelah tembikai itu untuk dimakan, ternyata buah tembikai itu tidak elok, maka marah-marahlah isteri Syaqiq dengan keadaan tersebut.
Maka bertanyalah Syaqiq kepada isterinya: "Kepada siapa engkau tujukan marahmu itu, adakah kepada penjual, pembeli, penanam atau Pencipta buah tembikai itu?." Terdiam isterinya mendengar pertanyaan tersebut. Kemudian Syaqiq teruskan lagi kata-katanya:
"Adapun si penjual, sudah tentu mahu jualannya terdiri daripada barangan yang terbaik. Adapun si pembeli juga sudah tentu mahu membeli barang yang terbaik juga. Bahkan si penanam juga sudah tentu berharap hasil tanamannya yang terbaik juga. Maka ternyatalah marahmu ini engkau tujukan kepada Pencipta buah tembikai ini. Maka bertaqwalah engkau kepada Allah dan redhalah dengan segala ketentuan-Nya."
Maka menangislah isteri Syaqiq. Lalu bertaubat dan dia pun redhalah dengan apa yang telah ditentukan oleh Allah SWT.
Jika kita melihat kepada kisah di atas, sebagai manusia kadang-kadang kita tidak sedar bahawa kita telah mempertikaikan ciptaan Allah dan nikmat yang Dia kurniakan kepada kita.
Astaghfirullah, bicara mulut cepat berkata, tanpa memikirkan apa maknanya. Hati-hati dalam percakapan kita seharian, kerana mulut badan binasa, kerana kata kesannya dirasa. Secara zahirnya, orang melihat perwatakan dan peribadi kita salah satunya melalui percakapan, maka jika elok tutur katanya insyaAllah, eloklah peribadinya. Tetapi semua itu bergantung kepada nilaian hati kita, Rasulullah SAW menyatakan kepada kita mengenai hati, sabdanya :
"Ketahuilah kamu di dalam badan manusia terdapat segumpal darah. Apabila baik maka baiklah keseluruhan segala perbuatannya dan apabila buruk maka buruklah keseluruhan tingkah lakunya. Ketahuilah kamu bahawa ia ialah hati."
Semoga kisah ini memberi pengajaran kepada kita, baiki hati, sucikan dan bersihkan ia dari segala titik-titik hitam.
Wallahua'lam...
Wallahua'lam...
No comments:
Post a Comment