Followers

Saturday, June 4, 2011

Kisah Seorang Lelaki Dengan Pokok Mangga

Assalamualaikum....terima kasih kepada Tuhan kerana memberi lagi kesempatan untuk meneruskan hidup dalam mentauhidkan diri kepadaNya...dalam usaha menjadi insan yang dicintai Allah tidak lengkap jika kita mengabaikan ibu bapa kita...oleh itu hargai dan sayangilah ibu bapa. Jangan hanya mengunjungi mereka semasa susah dan melupakan mereka tatkala senang. Apalah faedahnya merayakan Hari Ibu & Hari Bapa jika mereka diingati cuma setahun sekali..alhamdulillah entry kali ini aku nak kongsikan 1 kisah yang mana boleh menjadi bahan muhasabah kita dalam menjadi anak yang soleh dan solehah.. insyaAllah..






Suatu masa, terdapat sebatang pokok mangga yang cukup besar di hujung sebuah desa. Setiap hari seorang kanak-kanak lelaki datang bermain-main di situ. Sesekali dia memanjat pokok tersebut, memetik serta memakan buahnya yang ranum.




Ada kalanya dia berehat lalu terlelap di pangkal pokok tersebut. Kanak-kanak lelaki itu begitu menyayangi tempat permainannya.




Masa berlalu .... budak lelaki itu sudah besar dan menjadi seorang remaja. Dia tidak lagi menghabiskan masanya setiap hari bermain di sekitar pokok mangga tersebut. Namun begitu, suatu hari dia datang kepada pokok mangga dengan wajah sedih.




"Marilah bermain-main di sekitarku," ajak pokok mangga itu.
"Aku bukan lagi kanak-kanak. Aku tidak lagi gemar bermain dengan engkau," jawab budak remaja itu.





"Aku mahukan permainan. Aku perlukan wang untuk membelinya," sambung remaja itu dengan nada sedih.




Lalu pokok mangga itu pun berkata. "Kalau begitu, petiklah mangga-mangga yang ada padaku. Jualkan untuk mendapat wang. Dengan itu, kau dapat membeli permainan yang kau inginkan."




Budak remaja itu dengan gembira memetik semua mangga di pokok itu dan pergi dari situ. Dia tidak kembali lagi selepas itu. Pokok mangga cukup merasa sedih.




Masa berlalu .......




Suatu hari remaja itu kembali. Dia semakin dewasa. Pokok mangga tetap merasa gembira. "Marilah bermain-main di sekitarku," ajak pokok mangga itu.




"Aku tiada masa untuk bermain. Aku terpaksa bekerja untuk mendapatkan wang. Aku ingin membina rumah sebagai tempat perlindungan keluargaku."




"Bolehkah kau menolong aku?" tanya budak itu.




"Maafkan aku. Aku tidak mempunyai rumah. Tetapi kau boleh memotong dahan-dahanku yang besar ini dan kau buatlah rumah daripadanya," pokok mangga itu memberi cadangan.




Lalu, budak yang telah pun dewasa itu memotong kesemua dahan pokok mangga itu. Pokok mangga tumpang gembira tetapi kemudiannya merasa sedih kerana sahabatnya itu tidak pernah menemuinya.




Pada suatu hari yang panas terik, seorang lelaki datang berteduh di bawah pokok mangga yang sudah kembali rendang itu. Dia sebenarnya adalah budak lelaki yang pernah bermain-main dengannya dulu.




Dia telah matang dan dewasa kerana itulah pokok mangga lambat mengenalinya.




"Marilah bermain-main di sekitarku seperti dahulu," ajak pokok mangga sebaik mengetahui siapa lelaki itu.




"Maaf ........ aku bukan lagi budak lelaki yang suka bermain-main di sekitarmu. Aku sudah dewasa. Aku punya tanggungjawab sendiri. rasa-rasa aku ingin berlayar, tapi malangnya. Aku tidak mempunyai bot. Boleh kau tolong aku?" tanya lelaki itu.




"Aku tidak punya apa-apa untuk diberikan. Tetapi kau boleh memotong batangku ini untuk dijadikan bot. Kau akan dapat berlayar dengan gembira," cadang pokok mangga.




Lelaki itu merasa amat gembira dan menebang pokok mangga itu. Dia kemudiannya pergi dari situ dengan gembiranya dan tidak pernah kembali lagi.




Berpuluh tahun kemudian, pokok mangga yang dahulu gagah perkasa kini hanyalah sebuah punggur, ternampak seorang lelaki tua berjalan menuju ke arahnya.




Setelah diamati dan direnum tajam, barulah dia mengenali siapa lelaki tua itu. Dia adalah budak lelaki yang pernah bermain-main bersamanya dahulu.




"Maafkan aku. Aku tidak ada apa-apa lagi nak diberikan kepada kau. Aku sudah memberikan buahku untuk kau jual, dahanku untuk kau buat rumah, batangku untuk kau buat perahu. Aku hanya ada tunggul dengan akar-akar yang hampir mati ........." kata pokok mangga dengan nada pilu.




"Aku tidak mahu manggamu kerana aku sudah tidak bergigi untuk memakannya. Aku tidak mahu dahanmu kerana aku sudah tua untuk memotongnya. Aku juga tidak mahu batang pokokmu kerana aku tidak berupaya untuk berlayar lagi. Aku mersa penat dan ingin berehat," jawab lelaki tua itu.




"Jika begitu sandarkanlah tubuhmu pada punggurku'" kata pokok mangga.




Lalu lelaki itu menyandarkan badannya. Terasa begitu enak berada dalam 'pelukan' punggur pokok mangga itu. Kedua-duanya menangis kegembiraan.




# Paparan cerita ini wajar kita renung dan fikirkan bersama tentang pengajaran di sebaliknya. Pokok mangga yang dimaksudkan adalah ibu bapa kita.




Semasa kita masih muda, kita suka bermain dengan mereka. Apabila meningkat remaja, kita perlukan bantuan mereka untuk meneruskan hidup. Kemudia kita tinggalkan mereka dan hanya kembali apabila memerlukan pertolongan, terutama ketika dilanda kesusahan.




Namun begitu, mereka tetap menolong kita dan melakukan apa sahaja asalkan kita bahagia dan gembira.




Anda mungkin terfikir bahawa budak lelaki itu kejam terhadap pokok mangga itu, tetapi itulah hakikatnya cara kebanyakan anak-anak masa kini melayan ibu bapa.







No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...