Followers

Wednesday, June 29, 2011

Kisah Syiling 20 Sen

Assalamualaikum...kepada semua semoga sihat selalu..kepada yang kurang sihat semoga ia adalah tanda kasih sayang Allah dan sedikit sebanyak menghapuskan dosa2 kecil... insyaAllah...entry kali ini aku nak kongsikan 1 kisah pengajaran...semoga ianya menjadi panduan dalam kehidupan kita semua...insyaAllah...





Pada suatu hari, seorang Imam membayar tambang dan duduk di dalam bas, dia tersedar yang pemandu bas tersebut telah memulangkan wang baki yang lebih daripada yang sepatutnya sebanyak 20 sen.


Sepanjang perjalanan Imam tersebut memikirkan tentang wang 20 sen tersebut. "Perlukah aku memulangkan 20 sen ni?", Imam tersebut bertanya kepada dirinya. "Ah... syarikat bas ni dah kaya... setakat 20 sen ni.. nak beli tosei pun tak cukup", kata Imam tersebut.


Apabila tiba di hadapan masjid, Imam tersebut menekan loceng dan bas tersebut pun berhenti. Ketika Imam tersebut ingin turun sahaja daripada bas, tiba-tiba seakan-akan dirinya secara automatik berhenti dan berpaling ke arah pemandu bas tersebut sambil memulangkan wang 20 sen tersebut. "Tadi kamu beri saya wang baki terlebih 20 sen", kata Imam tersebut kepada pemandu bas tersebut.


"Owh... terima kasih! Kenapa awak pulangkan 20 sen ni.. kan sedikit je nilainya", pemandu bas tersebut berkata. Imam tersebut menjawab, "Wang tersebut bukan milik saya, sebagai seorang muslim saya wajib berlaku jujur".


Pemandu bas tersebut tersenyum, dan berkata, "Sebenarnya saya sengaja memberi wang baki yang lebih sebanyak 20 sen ni, saya nak uji kejujuran kamu wahai Imam. Saya sudah berkali-kali berfikir untuk memeluk Islam".


Imam tersebut turun dari bas dan seluruh jasadnya menggigil dan kesejukan..Imam tersebut berdoa sambil menadah tangan, "Astaghfirullah!!!, Ampunkan daku Ya Allah... Aku hampir-hampir menjual harga sebuah Iman dengan 20 sen!!

Saturday, June 18, 2011

Selamat Hari Bapa





Assalamualaikum...sempena hari bapa ini aku nak ucapkan selamat hari  Ayah, Papa, Daddy, Walid, Abah dan Baba kepada semua yang bergelar bapa....semoga segala pengorbanan abah terhadap kami adik beradik akan dibalas kelak..insyaAllah...




Dear Abah,
Terima kasih untuk semuanya...sejak aku mula hidup berdikari dan berjauhan dari rumah baru aku sedar kenapa abah didik kami adik beradik supaya jadi manusia yang berguna...sebab abah x mahu tengok kami adik beradik susah dan x ada masa depan...


Aku kat sini berjauhan dengan abah...tapi abah x pernah lupakan aku..dulu masa kecik-kecik..even tiap kali bercuti abah akan suruh aku ikut dia sekali pergi check-in..sebab dia nak ajar aku supaya ada confident dalam diri..dan bila dah besar sikit, dah sekolah menengah aku buat sendiri...aku bersyukur sebab abah train aku macam tu ...aku x akan lupa jasa abah dari aku kecil sampailah aku dah dewasa nanti...


Baru-baru ni aku tertengok drama kat TV2. aku touching.. ya, semua bapak akan melindungi anak2 dia. dalam drama yang lain pula ada mengatakan, "bukan senang untuk  menjadi seorang ayah".. mungkin dalam kehidupan harian, kita selalu dengan ibu, emak. kadang2 kita lupa akan orang yang keluar cari rezeki. dan orang itu adalah ayah.


 Abah... Aku anakmu yang sudah dewasa ini kadang-kadang rasa sangat sesal dan terharu dengan pengorbanan abah selama ini...aku tidak dapat bayangkan tanpa abah disisi aku...yaa aku tahu semua insan yang bergelar manusia akan kembali kepada Nya...mungkin aku yang pergi dulu dari abah... tapi aku doakan semoga abah akan panjang umur dan ditempatkan dalam golongan orang-orang yang beriman...insyaAllah...


ABAH,
SELAMAT HARI BAPA.
I LOVE U.



Akhir kata..aku nak kirimkan sajak ini pada insan yang bergelar ayah...



Ayah

Pagi ini suluh mentari menghantar pulang
Jejak sepatuku masih ada debu kota meminggir
Diasak embun desa termanggu di halaman
Seratus langkahku menghampiri anak tangga usang
Rumah papan atap rumbia menyentak perantau
Sepi di beranda...

Kuatur langkahku sebak
Syahdu dan gementar
Ada tangisan di wajah
Menyentuh kenangan di gerbang pintu
Ayah selalu berkisah
Kuakan pintu itu ada nasihat
Masih basah keringat
Memantul warna senja kepulanganmu
Tanpa sungutan

Cepat benar masa berlalu
Waktu ayah menyambutku pulang
Usiamu diterjah putih kelabu
Ada perit getir di wajahmu
Kedut yang membungkus wajahmu
Mengasak kudrat ke telapak kesat tanganmu
Sering dahulu memeluk kami sebelum ke sekolah
Menghantar seribu luka di tumitmu
Dulunya menguak rahsia jalan
Aku menyambut memapah tubuh gementarmu
Kulihat dengan genang air mata
Sejuk dahiku kau kucup penuh restu

Sepohon pokok rendang tua
Ayah duduk memerhatikanku yang sudah dewasa
Membawaku ke sisi dan bercerita lagi kepadaku
Tentang kerinduan yang pernah ada dalam rumah
Tentang kasihan ibu kepada kami
Kata ayah “ibumu selalu sabar
Memahat senyuman pada dedaun padi
Yang menjadi alas kehidupan”

Ayah,
Seperti ibu yang selalu menangis gementar
Memanjat harapan ke hadirat-Nya
Anak-anakmu juga tidak dapat membezakan
Di antara turun hujan dan air matamu
Waktu ayah menghambakan hayat
Menyuah seluruh nafasmu ke bendang
Antara tergesa-gesa dan mengah
Dalam cahaya senja

Ayah,
Anak-anakmu yang sudah dewasa ini
Sesal dan terharu
Bagai kehilangan kuasa lidah
Sekalipun untuk mahu memohon maaf
Atau....
Berbicara tentang cinta dan kasih sayangmu
Yang waktu kecil kami dahulu
Selalu juga gagal ...
.....Gagal kami temui dalam setiap dakapan
.....Gagal kami hayati dalam setiap bilah rotanmu
.....Gagal kami dengar dalam setiap doamu
Hanya pelukan yang dapat kami bahasakan
Mengharapkan naluri ayah
bertemu bisik hati kami
Betapa kami....
tidak mampu pun suarakan
saat kami menyusun jari di pangkuan mu
dalam tangisan

Ayah,
Terima kasih kerana airmata mu
Tidak pernah gagal prihatin untuk kami
Terima kasih kerana ingatanmu di hujung rotan
Tidak pernah gagal mengasihani kami
Terima kasih kasih sayangmu yang takjub
Tidak pernah gagal mengingatkan kami dalam hati mu
Terima kasih atas segala susah payah
Tidak pernah gagal memanjatkan doa

Doa ibu membawa ke syurga
Doa ayah jalan ke syurga

Nama Isteri-Isteri Rasulullah SAW

Assalamualaikum...sebagai umat islam Nabi Muhammad SAW adalah junjungan besar kita dan kita adalah umat kepada rasul yang terakhir ini yang juga pemberi syafaat kepada kita semua di hari Akhirat nanti. Tapi sejauh mana kita mengenali personaliti yang menduduki ranking pertama dalam 100 orang berpengaruh di dunia sepanjang zaman ini??  Jadi hari ini aku nak kongsikan dengan semua mengenai isteri-isteri Rasulullah dan sedikit latar belakang mereka yang menjadi tulang belakang kepada perjuangan sepanjang hayat baginda. Ada 12 orang kesemuanya..




1) Khadijah Binti Khuwailid
Seorang saudagar kaya yang berkahwin dengan Rasulullah ketika berumur 40 tahun. Merupakan isteri pertama baginda.

2) Sawdah Binti Zam’ah
Berkahwin dengan Rasulullah pada bulan Syawal tahun ke-10 kenabian.

3) Aisyah Binti Abu Bakar As-Siddiq r.a
Berkahwin dengan Rasulullah pada bulan Syawal pada tahun ke-11 kenabian setahun selepas perkahwinan Rasulullah dengan Sawdah

4) Hafsah Binti Umar Al-Khattab r.a
Berkahwin dengan Rasulullah pada tahun ke-3 Hijrah. Menjadi janda selepas kematian suaminya Khunays Bin Hudhafah antara Perang Badar dan Uhud.

5) Zainab Binti Khuzaymah
Berkahwin dengan Rasulullah pada tahun ke-4 Hijrah. Bekas isteri Abdullah Bin Jahsy yang gugur syahid dalam Perang Uhud. Digelar Ummu al-Masakin (ibu orang miskin) sebab sifat pemurah dan penyanyangnya kepada yang miskin. Namun meninggal dunia dua atau tiga bulan selepas berkahwin dengan Rasulullah.

6) Ummu Salamah Hindun Binti Abu Umayyah
Berkahwin dengan Rasulullah pada Syawal 4-Hijrah. Balu kepada Abu Salamah.

7 ) Zainab Binti Jahsy Bin Riyab
Berkahwin dengan Rasulullah pada bulan Zulkaedah 5-Hijrah. Anak mak saudara sebelah bapa.

8) Juwayriyyah Binti al-Harith
Berkahwin dengan Rasulullah pada bulan Syaaban 6 Hijrah.

9) Ummu Habibah Ramlah Binti Abu Sufiyan
Berkahwin dengan Rasulullah pada bulan Muharam tahun ke-7 Hijrah. Bekas isteri kepada Ubaydullah Bin Jahsy yang bercerai dengan suaminya atas sebab suaminya telah murtad dan memeluk agama Nasrani.

10) Safiyyah Binti Huyai Bin Akhtab
Merupakan tawanan perang Khaybar. Rasulullah memerdekakannya serta mengahwininya setelah berjaya menakluk Khaybar.

11) Maymunah Binti al-Harith
Berkahwin dengan Rasulullah pada bulan Zulkaedah tahun ke-7 Hijrah. Saudara perempuan Ummu al-Fadl Lubabah Binti al-Harith.

12) Mariyah Al-Qibtiyah
Adalah budak Rasulullah yang kemudian beliau bebaskan dan beliau nikahi. Rasulullah memperlakukan Mariyah sebagaimana beliau memperlakukan istri-istri beliau yang lainnya. 




Sedikit fakta:
Sembilan orang masih hidup selepas kewafatan baginda. Dua orang pula meninggal dunia ketika baginda masih hidup.
Mungkin kita mengaku cintakan Nabi tapi banyak lagi sebenarnya yang kita tak tahu (barangkali lupa) akan sirahnya. Aku juga tidak banyak mengetahui dan kita hanya manusia biasa yang memang banyak kelemahan..Semoga sama-sama kita perbaiki pengetahuan kita mengenai Islam dan Sirah nabi-nabi kita dari semasa ke semasa..insyaAllah..







Saturday, June 11, 2011

Kisah Burung Pipit

Assalamualaikum...kesyukuran yang x terhingga pada Allah atas ilmu2 agamaNya yang banyak memimpin diri ini dalam melalui pelbagai dugaan hidup ini...ya Allah semoga kesihatan hari ini yang Kau berikan akan lebih dimanfaatkan ke arah tugas-tugas agamaMu...kepada yang diuji dengan kesakitan..semoga ianya menjadi tanda kasih sayang Allah kepada kita dalam memimpin kita ke arah jalanNya....alhamdulillah ak cuma nk kongsikan sedikit kisah pendek yang boleh menjadi pengajaran kepada kita semua dalam mendidik diri supaya mempunyai sifat tidak memandang remeh pada sesuatu dan keihklasan dalam menolong.. InsyaAllah...









Pada suatu hari, sebuah rumah di pinggir kampung terbakar. Seekor burung pipit membawa air menggunakan sayapnya. Seorang pemuda hairan melihat burung itu berulang-alik membantu memadamkan kebakaran.


Pemuda : Wahai burung pipit. Mengapakah engkau berulang-alik membawa air?


Burung : Saya ingin membantu memadamkan api yang sedang marak.


Pemuda : Tapi, tidakkah kau tahu bahawa sayap kau hanya mampu membawa dua titis air saja?


Burung : Saya tahu.


Pemuda : Tahukah kau bahawa titisan air yang kau bawa itu tak akan dapat memadamkan kebakaran itu?


Burung : Saya tahu wahai pemuda.


Pemuda : Tetapi mengapa kau masih berterusan berbuat begitu?


Burung : Sesungguhnya apabila Allah bertanya sama ada saya nampak atau tidak kebakaran itu, saya akan jawab bahawa saya nampak kebakaran itu. Dan jika Allah bertanya apakah usaha saya untuk membantu. Lalu saya akan menjawab bahawa saya telah membawa titisan air menggunakan sayapku untuk membantu.


Pemuda : Wahai burung, sesungguhnya engkau adalah makhluk yang berjiwa mulia.


Moral : Jika kita mahu menolong seseorang, bantulah sekadar yang kita mampu. Sekurang-kurangnya kita ada menyumbang bakti.






















Saturday, June 4, 2011

Kisah Seorang Lelaki Dengan Pokok Mangga

Assalamualaikum....terima kasih kepada Tuhan kerana memberi lagi kesempatan untuk meneruskan hidup dalam mentauhidkan diri kepadaNya...dalam usaha menjadi insan yang dicintai Allah tidak lengkap jika kita mengabaikan ibu bapa kita...oleh itu hargai dan sayangilah ibu bapa. Jangan hanya mengunjungi mereka semasa susah dan melupakan mereka tatkala senang. Apalah faedahnya merayakan Hari Ibu & Hari Bapa jika mereka diingati cuma setahun sekali..alhamdulillah entry kali ini aku nak kongsikan 1 kisah yang mana boleh menjadi bahan muhasabah kita dalam menjadi anak yang soleh dan solehah.. insyaAllah..






Suatu masa, terdapat sebatang pokok mangga yang cukup besar di hujung sebuah desa. Setiap hari seorang kanak-kanak lelaki datang bermain-main di situ. Sesekali dia memanjat pokok tersebut, memetik serta memakan buahnya yang ranum.




Ada kalanya dia berehat lalu terlelap di pangkal pokok tersebut. Kanak-kanak lelaki itu begitu menyayangi tempat permainannya.




Masa berlalu .... budak lelaki itu sudah besar dan menjadi seorang remaja. Dia tidak lagi menghabiskan masanya setiap hari bermain di sekitar pokok mangga tersebut. Namun begitu, suatu hari dia datang kepada pokok mangga dengan wajah sedih.




"Marilah bermain-main di sekitarku," ajak pokok mangga itu.
"Aku bukan lagi kanak-kanak. Aku tidak lagi gemar bermain dengan engkau," jawab budak remaja itu.





"Aku mahukan permainan. Aku perlukan wang untuk membelinya," sambung remaja itu dengan nada sedih.




Lalu pokok mangga itu pun berkata. "Kalau begitu, petiklah mangga-mangga yang ada padaku. Jualkan untuk mendapat wang. Dengan itu, kau dapat membeli permainan yang kau inginkan."




Budak remaja itu dengan gembira memetik semua mangga di pokok itu dan pergi dari situ. Dia tidak kembali lagi selepas itu. Pokok mangga cukup merasa sedih.




Masa berlalu .......




Suatu hari remaja itu kembali. Dia semakin dewasa. Pokok mangga tetap merasa gembira. "Marilah bermain-main di sekitarku," ajak pokok mangga itu.




"Aku tiada masa untuk bermain. Aku terpaksa bekerja untuk mendapatkan wang. Aku ingin membina rumah sebagai tempat perlindungan keluargaku."




"Bolehkah kau menolong aku?" tanya budak itu.




"Maafkan aku. Aku tidak mempunyai rumah. Tetapi kau boleh memotong dahan-dahanku yang besar ini dan kau buatlah rumah daripadanya," pokok mangga itu memberi cadangan.




Lalu, budak yang telah pun dewasa itu memotong kesemua dahan pokok mangga itu. Pokok mangga tumpang gembira tetapi kemudiannya merasa sedih kerana sahabatnya itu tidak pernah menemuinya.




Pada suatu hari yang panas terik, seorang lelaki datang berteduh di bawah pokok mangga yang sudah kembali rendang itu. Dia sebenarnya adalah budak lelaki yang pernah bermain-main dengannya dulu.




Dia telah matang dan dewasa kerana itulah pokok mangga lambat mengenalinya.




"Marilah bermain-main di sekitarku seperti dahulu," ajak pokok mangga sebaik mengetahui siapa lelaki itu.




"Maaf ........ aku bukan lagi budak lelaki yang suka bermain-main di sekitarmu. Aku sudah dewasa. Aku punya tanggungjawab sendiri. rasa-rasa aku ingin berlayar, tapi malangnya. Aku tidak mempunyai bot. Boleh kau tolong aku?" tanya lelaki itu.




"Aku tidak punya apa-apa untuk diberikan. Tetapi kau boleh memotong batangku ini untuk dijadikan bot. Kau akan dapat berlayar dengan gembira," cadang pokok mangga.




Lelaki itu merasa amat gembira dan menebang pokok mangga itu. Dia kemudiannya pergi dari situ dengan gembiranya dan tidak pernah kembali lagi.




Berpuluh tahun kemudian, pokok mangga yang dahulu gagah perkasa kini hanyalah sebuah punggur, ternampak seorang lelaki tua berjalan menuju ke arahnya.




Setelah diamati dan direnum tajam, barulah dia mengenali siapa lelaki tua itu. Dia adalah budak lelaki yang pernah bermain-main bersamanya dahulu.




"Maafkan aku. Aku tidak ada apa-apa lagi nak diberikan kepada kau. Aku sudah memberikan buahku untuk kau jual, dahanku untuk kau buat rumah, batangku untuk kau buat perahu. Aku hanya ada tunggul dengan akar-akar yang hampir mati ........." kata pokok mangga dengan nada pilu.




"Aku tidak mahu manggamu kerana aku sudah tidak bergigi untuk memakannya. Aku tidak mahu dahanmu kerana aku sudah tua untuk memotongnya. Aku juga tidak mahu batang pokokmu kerana aku tidak berupaya untuk berlayar lagi. Aku mersa penat dan ingin berehat," jawab lelaki tua itu.




"Jika begitu sandarkanlah tubuhmu pada punggurku'" kata pokok mangga.




Lalu lelaki itu menyandarkan badannya. Terasa begitu enak berada dalam 'pelukan' punggur pokok mangga itu. Kedua-duanya menangis kegembiraan.




# Paparan cerita ini wajar kita renung dan fikirkan bersama tentang pengajaran di sebaliknya. Pokok mangga yang dimaksudkan adalah ibu bapa kita.




Semasa kita masih muda, kita suka bermain dengan mereka. Apabila meningkat remaja, kita perlukan bantuan mereka untuk meneruskan hidup. Kemudia kita tinggalkan mereka dan hanya kembali apabila memerlukan pertolongan, terutama ketika dilanda kesusahan.




Namun begitu, mereka tetap menolong kita dan melakukan apa sahaja asalkan kita bahagia dan gembira.




Anda mungkin terfikir bahawa budak lelaki itu kejam terhadap pokok mangga itu, tetapi itulah hakikatnya cara kebanyakan anak-anak masa kini melayan ibu bapa.







Saturday, May 21, 2011

Kerana Sebiji Epal

Assalamualaikum...ucapan takziah kepada arwah anak-anak yatim dan Anak Hidayah Madrasah At-Taqwa di Kampung Sungai Gahal, Hulu Langat akibat tanah runtuh..semoga Allah menempatkan mereka dalam golongan orang-orang yang beriman...kepada kita yang masih hidup..semoga Allah memberi kekuatan iman kepada kita dalam pengabdian kepadaNya...ahamdulillah..entry kali ini aku nak kongsikan 1 kisah seorang pemuda yang mempunyai nilai murni yang sangat tinggi...semoga kita semua dapat mencontohinya.. insyaAllah..






Pada zaman dahulu ada seorang pemuda yang amat soleh dan warak. Dia juga terkenal sebagai seorang yang sangat jujur dalam percakapan mahupun perbuatannya. Dia tinggal di sebuah kota kecil di negeri Parsi. Abu Salih adalah seorang pemuda Islam yang kuat beribadat, ilmu pengetahuannya amat luas dia tidak tertarik langsung kepada kesenangan dunia. Setiap hari dia suka duduk di tepi sungai sambil memikirkan kebesaran Allah S.W.T.


Pada suatu hari ketika Abu Salih sedang duduk di tepi sebuah sungai, tiba-tiba dia ternampak sebiji buah epal sedang dihanyutkan air. Ketika itu Abu Salih belum lagi makan apa-apa sebagai alas perutnya. Sebaik sahaja dia ternampak epal itu perutnya terasa lapar, lantas dia pun mengambil buah epal itu dan memakannya. Tiba-tiba dia tersedar akan kesalahannya. Buah epal itu adalah dari pokok kepunyaan orang.


Oleh kerana Abu Salih seorang yang sangat beragama, dia berasa tidak senang hati kerana telah memakan buah yang bukan haknya. Dengan tidak membuang masa dia terus mencari tuan punya buah epal yang dimakannya itu. Dia benar-benar ingin meminta maaf di atas keterlanjurannya. Dia ingin memohon di halalkan buah epal yang dimakannya itu.


Setelah sekian lama dia mudik mengikut sungai itu, akhirnya dia ternampak dahan pokok epal tersebut berjuntai ke dalam sungai. Setelah dilihatnya pokok epal itu, maka dia yakin bahawa epal yang dimakannya adalah dari salah satu pokok epal yang terjuntai itu. Kerana rasa takut di atas kemurkaan Allah serta tuan punya pokok epal, lantas dia terus berjalan mencari tuan punya pokok epal itu. Tidak lama kemudian Abu Salih pun tiba di sebuah rumah yang sederhana besarnya. Abu Salih mengesyaki rumah itu adalah kepunyaan tuan punya pokok epal tersebut. Rumah itu sebenarnya kepunyaan seorang wali Allah yang terkenal bernama Abdullah Sawmai.


Setelah memberi salam dan masuk ke rumah orang itu, Abu Salih meminta maaf di atas kesalahan yang telah dilakukannya. Abdullah Sawmai bersedia memaafkannya tetapi dengan syarat Abu Salih mesti tinggal bersamanya selama 12 tahun. Wali itu sengaja menguji sejauh manakah ketakwaannya. Di dalam hati wali itu berkata, “Baik sungguh orang muda ini, hinggakan termakan buah epal pun dia berasa perlu meminta maaf kepadaku.”





Abu Salih yang lurus itu bersetuju dengan syarat yang diberikan oleh Abdullah Sawmai. Sejak dari hari itu tinggallah dia dia bersama wali tersebut. Semasa dia berada di situ, dia telah membantu membuat pelbagai kerja rumah dan taat pada setiap kerja yang diberikan kepadanya. Setelah genap 12 tahun dia tinggal di situ, dia pergi berjumpa semula dengan wali itu untuk meminta maaf sekali lagi kerana hendak pulang ke kampung halamannya.


Sebaik sahaja selepas dia meminta maaf, Abdullah Sawmai pun berkata kepadanya, “Aku bersedia memaafkan engkau dengan syarat engkau mesti kahwin dengan anakku yang buta, pekak dan juga cacat”. “Kenapa bergitu berat sekali hukuman yang diberikan kepadaku, sedangkan aku hanya memakan sebiji epal”, bisik hati Abu Salih. Dia terfikir juga itu mungkin satu cubaan terhadap dirinya oleh Allah S.W.T. Mungkin ada hikmah disebalik denda tersebut. Akhirnya dengan rela hati Abu Salih menerima syarat Abdullah Sawmai itu.


Setelah mereka dinikahkan, Abu Salih amat terkejut apabila didapatinya isterinya tidak buta, tidak pekak dan tidak cacat seperti yang dikatakan oleh bapa mertuanya. Sebaliknya isterinya adalah seorang gadis yang amat cantik yang tidak pernah di temuinya sebelum ini sepanjang hidupnya. Di dalam hatinya dia berkata, “Mungkin ini adalah balasan Allah terhadapku kerana menahan sabar. Tetapi kenapa pula ayah mertuaku tidak berkata yang sebenarnya kepadaku dahulu”.


Pada suatu hari ketika ayah mertuanya sedang duduk di pintu, Abu Salih pun datang menghampirinya seraya bertanya, “Wahai ayahku, kenapakah ayah berkata bahawa anak ayah itu buta, pekak dan cacat?” Maka Abdullah Sawmai pun menjawab, “Aku katakan Fatimah isterimu itu buta sebab dia belum pernah melihat orang lain selain dari ayahnya. Aku katakan dia pekak kerana dia dia belum pernah mendengar sebarang kata nista dan aku katakan dia cacat kerana dia tidak pernah membuat dosa”.


Semenjak dari hari itu Abu Salih hidup berbahagia bersama isterinya yang bernama Ummu Khair Fatimah.



p/s:            Kasihanilah musuh anda kerana dia telah menyebutkan kesalahan anda
    
                   Apabila engkau telah berazam, maka bertawakallah kepada Allah

Friday, May 20, 2011

Wahai Saya bin Ibu Saya

Assalamualaikum...terima kasih kepada Allah kerana memberi kesempatan dan kekuatan iman kepada Ku untuk terus menuntut ilmu...mana mungkin tanpa bantuan dari Allah kita masih boleh meneruskan perjuangan ini.. Alhamdulillah...entry kali ini aku nak kongsikan gambaran sewaktu kita di alam kubur yang mana terdapat pelbagai persoalan yang mesti kita jawab..semoga kita diberikan kekuatan iman supaya tenang untuk menghadapinya....insyaAllah....






Wahai Saya Bin Ibu Saya, wahai Saya Bin Ibu Saya, wahai Saya Bin Ibu Saya. Hendaklah kamu ingat akan janji-janji Allah, yang mana kamu ada bawa bersama-sama dari dunia ini. Sekarang kamu telah menuju masuk ke negeri Akhirat. Kamu telah mengaku bahawa tiada Tuhan yang disembah dengan sebenar-benarnya melainkan Allah dan bahawasanya Nabi Muhammad itu pesuruh Allah.


Ingatlah wahai Saya Bin Ibu Saya. Apabila datang kepada kamu dua malaikat  iaitu Munkar dan Nankir, maka janganlah berasa gentar dan takut. Janganlah kamu berdukacita dan risau serta janganlah kamu bersusah hati dan terkejut. Ketahuilah wahai Saya Bin Ibu Saya bahawasanya Munkar dan Nakir itu hamba Allah Ta’ala, sebagaimana kamu juga hamba Allah Ta’ala. Apabila mereka menyuruh kamu duduk, mereka akan menyoal kamu.


Mereka akan bertanya kepada kamu:


Apakah pendapat kamu tentang Muhammad bin Abdullah?


Hendaklah kamu menjawab sebegini:


Dia (Muhammad) adalah hamba Allah dan RasulNya, aku bersaksi bahawa tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah dan Nabi Muhammad itu adalah hamba dan Rasul Allah.




Wahai Saya Bin Ibu Saya, jika kamu dapat menjawab yang sedemikian, maka kedua malaikat tersebut akan berkata, “Sesungguhnya kami tahu kamu akan berkata sedemikian”. Kemudian kedua malaikat tersebut akan bertanya lagi kepada kamu:
Siapakah Tuhan kamu?
Siapakah Nabi kamu?
Apakah agama kamu?
Apakah kiblat kamu?
Siapakah saudara kamu?
Apakah pegangan iktikad kamu?
Apakah kalimah yang kamu bawa bersama-sama kamu?


Di masa itu hendaklah kamu menjawab soalan-soalan mereka dengan cermat dan sehabis-habis terang, tepat dan betul. Janganlah berasa gementar dan janganlah bergopoh-gapah. Biarlah tenang dan berhati-hati.
Allah Ta’ala Tuhanku.
Muhammad Nabiku.
Islam agamaku.
Baitullah adalah kiblatku.
Semua orang Islam dan orang beriman adalah saudara aku.
Kitab suci Al-Quran ikutanku, malahan solat lima waktu, puasa di bulan Ramadhan, mengeluarkan zakat dan mengerjakan haji diwajibkan ke atas aku.
Dari masa hidup hingga aku mati aku mengucap, “La ila ha illallah Muhammaddur Rasulullah”.


Wahai Saya Bin Ibu Saya, tetapkanlah hatimu. Inilah dia suatu dugaan yang paling besar. Ingatlah bahawa kamu sekarang sedang tinggal di alam Barzakh sehingga sampai satu masa kelak. Kamu akan dibangunkan semula untuk berkumpul di Padang Mahsyar.


Sedarlah wahai Saya Bin Ibu Saya. Bahawasanya mati ini adalah benar. Soalan malaikat Munkar dan Nakir di dalam kubur ini adalah benar. Bangun dari kubur kemudian kita dihidupkan semula adalah benar. Berkumpul dan berhimpun di Padang Mahsyar adalah benar. Dihisab dan dikira segala amalan kamu adalah benar. Minum di telaga Kautsar Nabi adalah benar. Adanya Syurga dan Neraka adalah benar. Bahawasanya Hari Kiamat tetap akan adanya, begitu juga Tuhan yang Maha Berkuasa akan membangkitkan semula orang-orang yang di dalam kubur.


Di akhirnya kami ucapkan selamat berpisah dan selamat tinggal pada kamu di sisi Allah Ta’ala. Semoga Tuhan akan memberi kesejahteraan kepada kamu. Tuhan jua yang menetapkan hati kamu. Kami sekalian berdoa mudah-mudahan Allah Ta’ala menjinakkan hati kamu yang liar dan Allah menaruh belas kasihan kepada kamu yang berdagang seorang diri di dalam kubur ini. Mudah-mudahan Tuhan akan memberi keampunan dan memaafkan kesalahan kamu serta menerima segala amal kebajikan kamu.


“Kullu nafsin zaa iqatul maut” – Setiap yang bernafas, pasti akan merasai mati.



p/s:   Fikiran yang terbuka dan mulut yang tertutup merupakan suatu kombinasi  
         kebahagian.                                                                                      

         Jika kita berbuat baik, kebaikan pula yang akan kita terima kelak.







LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...